Typing..... Create memory... Create love... Create Happiness...Create what I want...
Monday, 15 February 2021
Zakat Duit Pengeluaran I-Sinar Kwsp
Friday, 12 February 2021
Cabaran PDPR di kala Pandemik Covid-19
Salam buat semua,
Post ni saya terjumpa di Facebook. Dan itu antara luahan yang amat tertusuk di hati. Saya rasa bukan hanya saya tetapi kebanyakan parents jugak melalui rasa yang sama. Jom saya kongsikan.
Sorry KPM, I'm Done!!
2 hari lepas ialah kemuncak kesabaran saya terhadap sistem Pdpr sejak Covid-19 menjelma di tahun 2020. Saya dah tak mampu cope dan perah tenaga saya lagi.
Kelas online katanya, tapi jadi kelas tempek link youtube, tempek homework online di whatsapp group. Saya cuba ikut dan fahami dari tahun lepas. Ok, mungkin perlukan masa untuk beradaptasi dengan sistem sebegini. Tapi, bila tahun ini pun dok buat benda sama, saya give up.
Satu hari, 3 subjek. Anak saya 3 orang. Form 2, Darjah 3 & Darjah 4. Kelas Kafa, lagi 3 subjek. ha kira tengok berapa subjek nak hempuk atas kepala saya untuk mengajar anak-anak. Saya sudah sehabis baik sediakan kelengkapan belajar online di rumah. Laptop, pc sorang satu, buku-buku latihan segala-gala. Setiap hari dari tahun lepas, saya komited untuk anak-anak saya, saya tolak hampir semua tawaran kerja training semata-mata nak spend masa untuk pembelajaran anak-anak.
Bermula pukul 8 pagi, group whatsapp sekolah akan dapat link youtube, gambar-gambar dan kerja rumah. Lepas habis satu kelas, satu kelas. Lepas tu, perkara paling annoying, berdedai-dedai list kehadiran dalam group whatsapp, dan juga hasil kerja sekolah suruh cikgu semak. Kadang-kadang whatsapp group jadi medan pertandingan, anak siapa paling rajin, anak siapa buat elok, mak-mak sapa bagus boleh duk ajar anak ontime dan betul.
Semalam, ada seorang cikgu sekolah anak saya yang buat kelas mengajar depan-depan melalui Gmeet, Cikgu Zaiton namanya. Saya rasa betul-betul ringan sebelah bahu selepas cikgu mengajar secara 2 way communication begitu. Ada lagi sorang cikgu math tahun lepas, Cikgu Saari namanya, buat inisiatif rakam sendiri dirinya mengajar di whiteboard. Walaupun pelajar tak dapat respon on the spot, tapi pelajar boleh rasakan kehadiran cikgu. 2 cikgu ini saya puji dan sangat hargai. Terima kasih cikgu!
Petang pulak, Kelas Kafa. Mujur jugak saya baru jumpa kelas kafa swasta kat dalam taman ni. Dari tahun lepas merayu cari kelas kafa, nan hado, tak terima untuk pelajar baru, sampai la ke tahun ni. Tak tahu mana lagi nak hantar anak belajar agama. Takpa, bayar pun takpe, demi anak-anak. Alhamdulillah kelas kafa ni Ustazah ada buat Gmeet, nampaklah macam kelas online. Ada interaksi guru-pelajar. Anak-anak saya pun nampaknya kembali bersemangat.
Ok, masuk bab saya pulak, dari pagi siapkan sarapan, setup class untuk anak-anak, saya sendiri pun ada kelas online, sambil ajar anak, sambil usung laptop masuk dapur, prepare lunch, sambil saya jawab exam, prepare modul, recording segala. Alhamdulillah, saya sabar, dan sabar lagi lalui hari-hari mendatang.
Sampailah ke tarikh 2 hari lepas, saya burnout. Saya terlampau letih, saya dah tak sanggup. Saya buka shower dan menangis semahu-mahunya dalam bilik air sebab tak nak anak-anak nampak. Lepas tu baru saya boleh cool down balik. Otak saya baru boleh berfikir secara rasional.
Saya buat keputusan, saya dah tak berminat ikut sistem pendidikan macam ni. Ini anak-anak saya dan saya bertanggung jawab sepenuhnya ke atas mereka, bukan cikgu-cikgu hatta KPM sekalipun. Kalau anak-anak saya melingkup pun, takkan ada sapa yang peduli.
Jadi saya duduk di meja tulis, dan rangka strategi baru. Saya print semua silibus sekolah anak-anak saya. Saya buat jadual kami sendiri. Setiap hari 1 jam untuk kami berempat duduk dan go through setiap satu tajuk bagi 1 subjek. Kerja rumah yang dikirim oleh pihak sekolah jatuh tempat kedua. Ada masa baru buat. Subjek pendidikan seni, muzik, jasmani etc, saya tolak tepi, sebabnya saya tau anak-anak saya dah cukup aktif dan kreatif.
Ada lagi 1 masalah berkenaan subjek sains, zaman sekarang subjek sains lebih kepada menghafal jargon-jargon dari pemahaman sains itu sendiri. Saya adalah peminat sains dan SPM A1 scorer matapelajaran sains, saya fikir, jika masa saya sekolah dulu saya dipaksa hafal inferens, malar tak malar dan tah apa-apa lagi. kemungkinan besar saya akan benci subjek sains. Subjek sains sepatutnya fun, bukan stressful.
Masa 2 jam menangis-nagis tu, perasaan saya bercampur baur. Ada yang saya menangis sebab kasihankan diri saya, ibubapa lain dan guru-guru sekolah. Saya ni, boleh dikatakan celik IT jugak, pun rasa sangat-sangat terbeban. Saya mampu sediakan pc, printer untuk anak-anak. Bayangkanlah ibu bapa yang kurang faham bab teknologi. Yang kurang mampu, yang diberhentikan kerja, yang anak 7-8 orang. Cikgu-cikgu tersepit, nak buat Google Meet, tak semua pelajar dapat masuk, ada yang tak pandai nak handle Gmeet, ada yang line internet sangat-sangat bermasalah. Itu belum lagi masuk ke masalah depression, ibu bapa dan guru. Setiap kali kunjungan saya ke pakar psikiatri, nurse selalu tanya, puan ni cikgu ke? Saya tanya, ramai ke cikgu-cikgu masuk sini? Raaaamaiiiiii jawabnya. Itu kalau yang tahu memang hidap depression, dan pergi dapatkan rawatan. Yang tak tahu dan tak boleh control tu macam mana? Silap-silap dicekiknya anak-anak.
Kawan-kawan saya sangat ramai yang bekerjaya guru dan pensyarah, selalu mengadu, mereka memang betul-betul tersepit, nak buat kelas online susah. Pihak atasan juga menekan minta data itu ini, ibu bapa murid ramai yang bekerja dan sukar bagi kerjasama. Kalau adapun waktu malam sahaja. Last-last back to square, tempek link, tempek homework di whatsapp sahaja jalannya.
Kami ibu ayah sudah lelah. Duit ringgit tak payah cakaplah. Laptop, printer dan segala-gala terpaksa beli. Guru-guru sudah lelah, semangat mengajar kian hilang. Entahlah, saya betul-betul penat dan fedup. Jadi, saya buat keputusan, nak mengamalkan konsep mampuih pi!
Kalau anak saya larat buat kerja sekolah, buatlah. Kehadiran dalam whatsapp pun saya dah menyampah nak isi. Kalau ada mood, saya isi, kalau tak lantakkan. Sekarang kami fokus kepada strategi dan jadual baru kami. Yang penting pemahaman anak-anak, bukan kehadiran. Sejam-dua sehari fokus setiap topik much better dari hari-hari dok buat kerja sekolah, tapi haram tak faham apa.
Sekian dulu, demikianlah berakhirnya kuota berletir saya pada hari ini. Saya perlu jaga kesihatan mental dan fizikal saya.. Kalau saya sakit, kena masuk wad gila, siapa nak jaga anak-anak saya? Now, saya dah letih sangat-sangat nak makan ubat dan tidur. Harini saya bagi cuti kat anak-anak saya! Yahoo!!
Begitulah antara luahan di Facebook yang menarik perhatian saya. Sebenarnya saya juga begitu. Dari tahun lepas saya juga menghadapi situasi yang sama begini. Henpon sampai hang! Mujur tahun ni ada rezeki upgrade gadget untuk kegunaan anak-anak. Tapi sama seperti ayat di atas, sepertinya melepaskan batuk di tangga. Anak-anak walaupun diberi link youtube tetap tak faham. Harap sangat KPM menyediakan satu jawapan untuk tiap persoalan mengenai PDPR oleh golongan ibu ayah. Fahamilah kami juga.

